Hari Kedua Puluh Enam
Pagi itu, suasana Akademi Putra digemparkan dengan sebuah video yang menggemparkan hati setiap pelajar. Video tersebut merakam kejadian yang penuh keputusasaan dan keganasan. Ia membuatkan aku termenung panjang. Dalam benak fikiran, aku merenung:
"Video itu benar-benar ngeri. Tak hairanlah Anis menjadi trauma setiap kali mendengar nama BlackAlpha. Kalau aku yang mengalaminya, aku mungkin tidak mampu menanggungnya."
Malam itu, selepas kejadian tersebut, aku cuba melelapkan mata, tetapi ingatan tentang video itu terus menghantui. Saat aku hampir terlelap, suara Justin memanggilku.
"Hazrul! Aku ada sesuatu untuk kau," katanya, suaranya kedengaran cemas.
Aku segera bangun dari tempat tidur dan mengikutnya ke suatu tempat. Dalam perjalanan, aku bertanya, "Kenapa ni, Justin?"
Namun, dia hanya menggenggam lenganku dengan kuat dan membawaku ke hadapan pintu bilik Kai.
"Aku menemui sesuatu yang lebih mengejutkan daripada video tadi," katanya dengan nada serius sebelum membuka pintu bilik Kai.
Di dalam bilik itu, aku melihat Azmi dan Kai sedang sibuk di hadapan komputer. Aku melangkah masuk, cuba memahami apa yang berlaku.
"Sebenarnya, apa yang kamu semua lakukan? Dan kenapa aku dipanggil?" tanyaku, kebingungan.
Kai memandangku dengan wajah serius. Dia menekan sesuatu pada papan kekunci dan menunjuk ke arah skrin. "Hazrul, video yang tergendala itu akhirnya berjaya kami godam. Lihat ini."
Rakaman 1:
Video itu dimulakan dengan pemandangan di atas bumbung sekolah. Di situ, Max kelihatan sedang mengejar seseorang yang memakai jubah hitam. Si penjubah berlari dengan kelajuan yang luar biasa, jauh lebih pantas daripada pesawat.
Rakaman 2:
Klip seterusnya menunjukkan detik di mana sebuah lampu pentas besar hampir jatuh menghempapku. Dalam rakaman tersebut, jelas terlihat si penjubah memotong tali yang menahan lampu itu, menyebabkan ia tidak stabil. Pada masa sama, rakaman turut menangkap Atirah yang sedang menyorok di dalam semak berhampiran.
Rakaman 3:
Rakaman ini lebih mengejutkan. Ia menunjukkan Anis berjalan menuju ke arah hutan sambil memegang sebuah surat. Tidak lama selepas itu, si penjubah kelihatan mengekorinya dari belakang. Dia menanggalkan sarung tangan, lalu menyerang Anis menggunakan pedang. Anis sempat menoleh ke belakang dan cuba mengelak serangan tersebut. Namun, sesuatu yang luar biasa berlaku—mata Anis tiba-tiba bersinar terang, dan dia mula hilang kawalan.
Rakaman 4:
Rakaman terakhir yang paling memilukan. Ia memperlihatkan saat Atirah ditikam. Dalam video itu, Atirah dilihat menerima panggilan untuk pergi ke sebuah jalan sunyi. Beberapa saat kemudian, si penjubah muncul dari belakang dan menikam Atirah tanpa belas kasihan. Video itu mengesahkan bahawa Atirah tercedera disebabkan oleh si penjubah.
Aku memandang skrin dengan hati yang berkecamuk. Segalanya mula masuk akal, tetapi pada masa sama, kekeliruan dan rasa takut menyelimuti fikiranku.
"Jadi... si penjubah itu yang bertanggungjawab atas semua ini?" tanyaku dengan suara yang bergetar.
Kai dan Azmi saling berpandangan sebelum Kai berkata, "Ya, Hazrul. Tapi kita masih belum tahu siapa sebenarnya dia... dan kenapa dia melakukan semua ini."
Aku berdiri di situ, termangu memikirkan betapa rumitnya peristiwa yang sedang berlaku. Namun, aku tahu satu perkara pasti—ini hanyalah permulaan.
Ketika pintu bilik Kai terbuka, suasana menjadi tegang. Max berdiri di ambang pintu dengan mata yang tajam, penuh kemarahan. Dia melangkah masuk perlahan, mendekati kami.
"Kamu tak patut belot pada kami, Justin," katanya dingin.
Tanpa amaran, Max menghunus pedangnya dan menyerang Justin. Namun, Justin tetap berdiri tanpa bergerak sedikit pun, seolah-olah tidak gentar.
Azmi segera bertindak balas. Dengan cekatan, dia menepis serangan Max menggunakan pedangnya, pedang burung emas yang bercahaya samar di bawah lampu bilik.
"Sudah-sudahlah, ahli Team Seven," kata Azmi tegas, suaranya memecah ketegangan.
Max mundur sejenak, memandang Azmi dengan kagum. "Selama ini aku memandang rendah pada kau, Azmi. Tapi sekarang aku faham siapa kau sebenarnya."
Aku memerhatikan pertembungan itu dengan hati yang berdebar. Max kelihatan bersedia menyerang semula, tetapi Azmi juga sudah bersiap siaga. Ketegangan meningkat, tetapi sebelum apa-apa berlaku, seorang lelaki bertopeng muncul dari kegelapan dan melangkah masuk, menghentikan perlawanan mereka.
Kekuatan lelaki bertopeng itu luar biasa. Dengan mudah, dia menumpaskan Max dan Azmi, membuat mereka terbaring tanpa daya. Dia menyarungkan pedangnya kembali dan memandang Max.
"Kau berdua adalah kawan lama. Tapi kenapa kau cuba membunuh Justin, Max?" tanyanya, suaranya dingin namun tegas.
Aku dan Kai terpaku melihat situasi ini. Hati kecilku bertanya-tanya: Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Kenapa Justin diserang? Apa maksud semua ini?
Lelaki bertopeng itu memberikan amaran kepada Max, memandangnya dengan tajam. "Jika kau sakiti Azmi lagi, aku tidak akan memaafkan kau."
Max mendengus sambil menyimpan pedangnya. "Heh! Apa yang kau boleh buat, pengacau?" katanya, mencabar.
Lelaki bertopeng itu menunjukkan pedangnya, memancarkan cahaya biru yang aneh. "Ini adalah pedang para penyihir. Kalau kau terkena pedang ini, kau akan menjadi debu dalam sekelip mata."
Max tersenyum sinis. "Baguslah, ugut aku dengan pedang sihir," katanya sebelum melangkah ke tepi, memberi ruang.
Ketika keadaan mulai reda, Kai yang sejak tadi berada di mejanya tiba-tiba berkata, "Eh? Apa ini?"
Kami semua, termasuk lelaki bertopeng, memandang ke arah Kai. Dia telah menerima sebuah video melalui akaunnya. Dengan penasaran, Kai membuka video itu.
Di layar, kelihatan ibu bapaku. Mereka tersenyum hangat, mengucapkan tahniah kerana aku berjaya menyertai Akademi Putra. Suasana di dalam video itu penuh dengan kebahagiaan, membuatkan aku tersenyum kecil, melupakan segala kekacauan sebentar tadi. Namun, senyumanku perlahan-lahan pudar.
Suasana di dalam video berubah. Rumahku yang tadi cerah dan bahagia kini terbakar hebat. Suara narator berita mengambil alih:
"Kemalangan yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan kematian keluarga Hazrim. Semua meninggal dunia di tempat kejadian, kecuali anak mereka, Hazrul, yang kini berada di Sekolah Akademi Putra. Pihak polis masih menyiasat punca kebakaran ini."
Aku terduduk. Perasaan yang tadi bahagia kini bertukar menjadi duka yang mendalam. Hatiku terasa hancur berantakan.
Angin yang masuk melalui tingkap menyapu wajahku, membawa air mataku jatuh satu persatu. Aku memegang meja Kai, cuba menahan diriku daripada runtuh sepenuhnya. Tetapi kesedihan itu terlalu berat untuk ditanggung.
Dalam hati, aku berkata kepada diriku sendiri:
"Betul kata mereka, aku memang cuai. Aku lebih cuai dari mana-mana pelajar terburuk di sekolah ini. Dan sekarang, aku kehilangan segalanya."
Tangisan perlahan menjadi satu-satunya suara yang memenuhi bilik itu. Segala-galanya terasa kosong.
Dengan hati yang berat, aku berjalan kembali ke bilikku, ditemani Justin yang tidak berkata apa-apa. Aku tidak tahu apa yang Azmi, Max, Kai, atau lelaki bertopeng itu sedang lakukan. Dalam fikiranku, hanya ada bayangan keluargaku, senyuman terakhir mereka di dalam rakaman itu, dan kenyataan pahit yang baru aku terima.
Sesampainya di bilik, aku membuka pintu. Aiman, rakan sebilikku, sedang menungguku dengan wajah biasa, tidak menyangka apa-apa. Dia memandangku dengan rasa ingin tahu.
"Apa yang berlaku?" tanyanya.
Justin berdiri di belakangku, mengambil tanggungjawab untuk menjawab. "Ibu bapanya... mereka telah tiada," katanya perlahan.
Mata Aiman membesar, terkejut mendengar berita itu. Dia segera mendekat, namun aku tidak mampu berkata apa-apa. Badanku terasa begitu berat, seolah-olah jiwa ini telah kehilangan separuh daripada isinya.
Aku hanya melemparkan diriku ke atas katil, membiarkan keletihan mental dan fizikal ini menguasai diriku. Tidur datang menyapaku, tetapi tidak seperti malam-malam yang lain. Tidur kali ini seperti berada dalam kekelaman, penuh rasa kecewa dan luka yang belum sembuh.
Malam itu, aku bermimpi. Namun, bukan sekadar mimpi biasa. Ia terasa seperti sesuatu yang nyata, setiap bayangan dan suara begitu jelas seolah-olah aku berada di sana.
Di dalam mimpi itu, aku melihat Pengetua berdiri ketakutan, tangannya terangkat seperti cuba melindungi dirinya.
"Tolong, jangan bunuh aku!" suara Pengetua itu merayu, bergema di dalam ruang yang kelam.
Kemudian muncul seorang lelaki dengan wajah yang kabur, memegang pistol di tangannya. Dia mengangkat pistol itu, menyasarkan tepat ke arah Pengetua.
"Aku cuma mahu menebus dosamu, Ahmad," katanya dengan nada dingin.
Tembakan dilepaskan. Bunyi letupan itu memekakkan telinga, dan tubuh Pengetua rebah ke lantai. Dalam keheningan itu, tawa mula bergema, perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang ganjil, menakutkan.
"Hahahahaha... hahahaha... balas dendam memang menyeronokkan!"
Tawa itu menjadi semakin histeria. Suara itu seperti sesuatu yang bukan manusia, penuh dengan kegilaan.
This story originates from a different website. Ensure the author gets the support they deserve by reading it there.
(HAHAHAHAHA... HAHAHAHA!)
Suara itu terus berkumandang, seolah-olah mencemuh. Kemudian, bayangan itu bertukar. Aku melihat keluargaku, wajah mereka penuh dengan kesedihan. Rumah yang terbakar kembali muncul, tetapi kali ini lebih jelas. Kemudian, aku melihat kawan-kawanku—Azmi, Max, Kai, dan yang lain.
Satu persatu wajah mereka mulai berkecai, menjadi serpihan seperti kaca yang pecah.
Malam itu, bukan sekadar keluargaku, tetapi kawan-kawanku juga turut berkecai…
Aku terbangun dengan nafas yang terputus-putus, peluh membasahi tubuhku. Matahari mulai terbit di ufuk timur, tetapi aku tidak merasa tenang. Sebaliknya, ada rasa gelisah yang semakin mendalam, seolah-olah mimpi itu bukan sekadar mimpi, tetapi satu peringatan. Adakah semua ini baru bermula?
Cahaya matahari mula menembusi tingkap bilikku, memberikan kehangatan pagi. Burung-burung berkicauan di luar, namun tiada apa yang terasa damai dalam hatiku. Aku membuka mata perlahan-lahan dan menatap siling bilik, kosong tanpa sebarang jawapan.
Tangan kanan ku diangkat, menatap telapak tanganku yang basah, seolah-olah aku baru selesai mandi. Kakiku pula terasa kebas, tiada deria, seperti aku tidak lagi berdiri di dunia nyata. Aku cuba bangkit perlahan, tubuhku terasa berat, seperti membawa beban yang tidak terlihat.
Dengan tangan kanan, aku menutup mataku seketika. Dalam gelapnya mata yang terpejam, aku cuba mengingati serpihan memori—hari pertama pendaftaran di Akademi Putra, pertemuan dengan ahli Kelab Misteri, pengalaman memasak bersama, cuti pertama, saat Aiman jatuh sakit, dan akhirnya… saat Atirah ditikam.
Air mataku mula mengalir ketika kenangan itu menyerang. Aku berdiri, langkahku menuju ke pintu keluar. Di dalam hatiku, hanya ada satu tujuan:
“Aku harus ke Kelab Misteri. Hari ini kami perlu mencari siapa si penjubah kedua itu.”
Namun, ketika langkahku semakin hampir ke pintu, kenyataan menghantamku. Aku teringat bahawa kelab itu sudah lama dibubarkan. Memori yang kabur kini semakin jelas, menampakkan apa yang telah berlaku satu persatu, seperti filem yang diulang tayang.
Siapa aku?
Kejutan itu membekukan diriku. Sekelip mata, aku seperti hilang segala-galanya—identiti, perasaan, bahkan tujuan hidup. Aku bertanya kepada diri sendiri:
Adakah aku mengalami amnesia? Jika ya, sejak bila? Adakah semua ini mimpi? Atau sebenarnya kenyataan yang aku cuba tolak?
Bayangan semalam kembali menghantui. Wajah ibu bapa yang kini tiada, suara mereka dalam video terakhir itu, dan rumah yang terbakar. Kesedihan yang kutahan akhirnya meledak. Aku mula menangis teresak-esak, tidak mampu berhenti.
Di tengah kekalutan emosiku, Aiman terbangun. Dia memandangku dengan wajah penuh kebimbangan, lalu berjalan mendekat.
“Hazrul, kenapa kau menangis? Apa yang terjadi?” tanyanya lembut.
Aku menghentikan tangisanku seketika, lalu berpaling kepadanya. “Aiman... adakah ini mimpi? Adakah kita sebenarnya masih di sekolah lama? Ini bukan Akademi Putra, kan?”
Wajah Aiman jelas menunjukkan rasa cemas. Dia tahu aku telah kehilangan diriku, tetapi dia cuba menenangkan aku dengan suaranya yang lembut.
“Hazrul, aku minta maaf jika ini menyakitkan, tapi aku perlu jujur. Kita memang berada di Akademi Putra. Apa yang kau lalui itu benar. Aku tahu kau sedih, tapi mengenang masa lalu tidak akan mengubah apa-apa.”
Kata-katanya itu membuat aku terdiam. Aku menunduk, merenung lantai bilik. Dalam hati, aku berbicara kepada diriku sendiri:
“Ternyata, semua ini adalah kenyataan. Aku memang berada di Akademi Putra. Apa yang aku lalui bukan mimpi, tetapi kebenaran yang harus aku hadapi, walau sesukar mana pun.”
Dengan fikiran itu, tubuhku tidak lagi mampu bertahan. Dunia menjadi gelap, dan aku jatuh pengsan di hadapan Aiman.
Aku membuka mata perlahan-lahan. Keadaan bilikku samar-samar, tapi aku dapat melihat Husnah berada di sisiku. Wajahnya jelas menunjukkan rasa risau. Tangannya yang kecil menggenggam tangan aku.
"Awak sudah sedar, ya?" katanya lembut.
Aku cuba membuka mata sepenuhnya, tetapi tubuhku terlalu lemah. Akhirnya, aku menyerah dan menutup mata semula, kembali terlelap.
Ketika aku tersedar sekali lagi, aku dapati bilik itu tidak lagi sunyi. Kali ini, Aiman, Justin, dan Azmi berada di situ, memerhatikanku.
"Apa yang berlaku?" tanyaku, bingung dengan situasi sekarang.
Azmi menarik nafas dalam, kelihatan agak berat hati. "Aku tak nak menyakitkan hati kau, tapi... video yang kau lihat itu sebenarnya dibuat oleh orang sadih."
Aku termenung sejenak. Orang sadih? Seperti aku pernah dengar nama itu sebelum ini.
Aku memandang Azmi dan bertanya, "Azmi, siapa orang sadih itu?"
Azmi menjawab sambil memandang Justin, seolah meminta dia menyokong kata-katanya. "Orang sadih ialah puak yang menghasilkan video-video untuk membuatkan orang putus asa bila melihatnya. Betul, Justin?"
Justin mengangguk dan menyambung, "Ya. Mereka gila, Hazrul. Apa yang mereka buat ialah mencipta kehancuran emosi orang lain. Mereka mahu kau sedih. Mereka gunakan kisah ibu bapa kau supaya ia benar-benar memberi kesan kepada kau."
Aku memejamkan mata, rasa berat dengan maklumat yang baru diterima. "Kenapa? Apa sebenarnya yang berlaku? Berapa lama aku tak sedarkan diri?" tanyaku, masih keliru.
Azmi menjawab perlahan. "Aku tak tahu kenapa semua ini berlaku, tapi keadaan makin rumit. Aku dah berbaik dengan pasukan BlackAlpha, dan sekarang aku dah sertai mereka untuk bertarung melindungi Akademi Putra ini sebelum hari terasing tiba."
Aiman menambah, "Hazrul, kau dah sehari suntuk berada di sini. Kawan-kawan kita yang lain pun datang melawat kau, baik lelaki mahupun perempuan."
Aku menarik nafas dalam. Jadi Husnah tadi bukannya mimpi, tetapi nyata. Fikiranku mula risau memikirkan apa yang sedang berlaku. Adakah hari terasing benar-benar akan membawa kehancuran? Baru sekarang aku faham perasaan Anis—kenapa dia begitu trauma.
"Awak akan sembuh dalam beberapa hari lagi, atau mungkin esok," kata Aiman cuba menenangkan aku.
Aku cuba mencari ketenangan di dalam fikiran, tetapi ia bagaikan mustahil.
Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Kai muncul, memandang ke arahku.
"Bagaimana dengan Hazrul?" tanyanya.
Justin menjawab dengan nada positif, "Hazrul nampaknya semakin sembuh."
Kai mendekati aku sambil berkata, "Baguslah kalau macam tu. Aku dah pulihkan rakaman Atirah, walaupun hasilnya taklah terlalu sempurna."
Aku hanya memandang lelangit, fikiran melayang. Satu persoalan timbul, dan aku akhirnya bertanya kepada Justin, "Justin, kenapa Max menyerang kau?"
Justin menarik nafas dalam. "Kerana kesilapan teknikal," jawabnya ringkas. "Tapi sang bertopeng sempat meleraikan kami sebelum keadaan jadi lebih buruk."
Aku terdiam, menyedari bahawa semua jawapan yang aku cari mungkin tak akan mengubah apa-apa. Mungkin lebih baik aku melupakan semua misteri yang membelenggu dan fokus kepada kehidupan di Akademi Putra.
Aku berbisik kepada diri sendiri, "Aku perlukan masa. Sudah terlalu banyak yang berlaku. Aku perlu berehat, dan tenangkan diri."
Selepas Justin dan Azmi meninggalkan bilik, hanya Aiman dan Kai yang tinggal bersamaku. Kai kelihatan sibuk mencari sesuatu di komputernya, manakala Aiman sedang menyediakan minuman untuk kami.
Aku memandang Aiman. Melihat dia berdiri di sudut bilik membuatkan aku teringat kembali insiden ketika dia dan Amiliya diracuni. Bayangan itu muncul begitu jelas dalam fikiran, sehingga aku tidak mampu mengabaikannya.
Aku memanggil Kai, suaraku perlahan tetapi cukup untuk menarik perhatiannya. "Kai! Hey! Kaiiiii."
Dia berhenti menaip dan menoleh ke arahku. "Ada apa?" tanyanya.
Aku berbisik kepadanya dengan nada serius, "Kai... cuba kau cari siapa yang sebenarnya memberikan racun kepada Aiman."
Kai tersenyum tipis, seperti dia sudah menjangka permintaan itu. "Aku dah lama buat," jawabnya sambil menunjukkan sesuatu di skrin komputernya. "Dan inilah pelakunya."
Nama Atirah tertera jelas di skrin.
"Sudah puas?" tanya Kai, memandangku dengan tenang.
Aku hanya mengangguk. "Ya," jawabku ringkas.
Aku kembali merebahkan badan ke atas katil. Kepala terasa berdenyut sedikit, tetapi aku tidak mempedulikannya. Jam di dinding menunjukkan pukul 5:45 petang. Aku termenung sejenak, menyedari bahawa aku sudah sehari berada di bilik ini.
Tidak lama kemudian, Aiman membawa minuman yang siap dibuat dan menghidangkannya kepada kami. Kai terlalu sibuk menaip di komputernya sehingga langsung tidak menyentuh gelas minumannya. Sementara itu, Aiman sedang sibuk bermesej dengan Alia, mengajaknya datang melawatku.
Aku bangun perlahan dari katil dan mengambil gelas minuman tadi. Perasaan gelisah mula menghantui diriku. Aku tertanya-tanya, adakah rakan sekelasku tahu apa yang telah aku lalui?
Aku memandang ke dalam gelas, renungan aku penuh dengan pelbagai fikiran. 'Aku tak peduli jika mereka tahu,' kata hatiku. 'Yang penting sekarang ialah melindungi sekolah ini, Akademi Putra.'
Aku meminum air tersebut sehingga habis, kemudian kembali merebahkan diri ke atas katil.
Bunyi 'Complete' kedengaran dari komputer Kai. Dia berhenti menaip seketika dan memandang ke arah skrin, seperti terkejut dengan sesuatu. Tanpa menjelaskan apa-apa, dia segera meminta diri untuk keluar dari bilik.
Kini hanya tinggal aku dan Aiman di bilik. Gelas minuman Kai masih tidak disentuh, berdiri kaku di atas meja.
Pintu diketuk perlahan, dan aku melihat Alia masuk ke dalam bilik. Aku sedikit terkejut. Bagaimana pelajar perempuan boleh masuk ke dalam asrama lelaki?
"Awak sihat, Hazrul?" tanya Alia, memandangku dengan wajah prihatin.
"Ya," balasku pendek. Aku terus bertanya, "Alia, bagaimana awak boleh pecah masuk asrama lelaki?"
Dia tersenyum kecil dan menjawab, "Kerana pengetua yang memberi keizinan. Jadi, sebab itulah semua orang dari kelas kita boleh masuk."
Aku mengangguk kecil, memahami situasi itu. Oh, mesti kerja Amiliya. Siapa lagi yang mampu buat begitu?
Tiba beberapa ketika selepas itu, Aiman meminta diri untuk pergi ke tandas, meninggalkan aku berdua dengan Alia. Suasana bilik menjadi lebih sunyi, dan aku cuba menenangkan diri sambil menghirup udara perlahan.
Alia memandangku dengan wajah serius sebelum mula berbicara. "Hazrul, awak tahu tak apa yang berlaku semasa awak pengsan tadi?"
Aku menggeleng perlahan, menanti jawapan daripadanya.
Dia menyambung, nadanya sedikit berbisik. "Husnah melawat awak tadi. Dia kelihatan sangat risau. Saya rasa dia... sukakan awak."
Aku terpaku seketika, tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi. Alia meneruskan ceritanya.
"Dalam diam, dia selalu memerhatikan awak. Saya perasan waktu di dalam kelas, dia sering pandang awak. Waktu awak keluar dengan Anis, dia nampak cemburu. Dan waktu pertama kali awak kenalkan Anis kepada kami, dia seperti langsung tidak mengendahkannya. Sejujurnya, dia kelihatan lebih sukakan awak berbanding orang lain."
Aku tersandar ke belakang, cuba menghadam kata-kata itu.
Tiba-tiba, pintu bilik terbuka sedikit, dan Aiman muncul di celahnya dengan senyuman nakal. "Semua yang Alia cakap tadi memang betul, Hazrul," katanya tanpa ragu-ragu.
Aku memandangnya, terkejut kerana dia mencuri dengar perbualan kami.
Aiman bersandar di pintu sambil menyambung, "Sejak hari memasak lagi, dia cuba cari peluang untuk bercakap dengan kau. Tapi, kau ni macam... tak perasan langsung!"
Aku duduk di katil, terdiam. Perasaan bercampur-baur menguasai diri. Aku rasa bodoh kerana tidak menyedari semua itu.
Aiman mengambil barang-barangnya dan bersiap untuk masuk ke bilik air. Sebelum melangkah keluar, dia sempat berkata, "Kau fikirkanlah sendiri, Hazrul."
Setelah itu, Alia berdiri dan memandangku dengan senyuman kecil. "Saya rasa awak patut fikirkan tentang perasaan Husnah. Dia gadis yang baik."
Aku mengangguk perlahan, walaupun masih bingung. Alia meminta diri untuk kembali ke biliknya, meninggalkan aku seorang diri di dalam bilik.
Aku merebahkan badan ke atas katil, mata merenung ke siling. Husnah suka aku? Soalan itu berulang kali bermain di fikiran. Segalanya terasa seperti teka-teki yang baru hendak aku fahami, namun ia datang terlalu tiba-tiba.
Aku terbaring di atas katil, kepala terasa berat dan tubuh mulai menggigil perlahan. Denyut di kepala semakin kuat, seperti aku terkena racun yang sama seperti Aiman dan Amiliya sebelum ini. Segalanya terasa kabur, namun aku cuba untuk bertenang.
Apabila malam tiba, aku mencapai telefon bimbitku dan membuka galeri. Gambar-gambar di dalamnya adalah koleksi yang diambil oleh Haikal, rakanku yang sentiasa membawa kamera ke mana sahaja. Aku meneliti setiap satu gambar dengan teliti. Ada gambar pemandangan indah, ada gambar suasana kelas, dan akhirnya mataku terpaku pada satu gambar yang menarik perhatian.
Gambar itu menangkap detik seekor burung melintas di atas kepalaku, bersayap luas seolah-olah sedang bebas merentas dunia. Aku memandang gambar itu lama, dan tiba-tiba kenangan lama menyerbu ke dalam fikiranku.
"Ayah! Tengok tu, ada pesawat datanglah. Wahh!! Ayah, tengok tu, sekumpulan burung sedang mengekori pesawat-pesawat itu. Apa nama pesawat itu, ayah?"
Ayahku tersenyum sambil memandang langit. "Nama pesawat itu ialah F5. Pesawat itu adalah pesawat tempur yang terkuat dalam sejarah. Dan nampaknya mereka sedang menuju ke suatu tempat yang penting."
Aku memandang pesawat itu dengan penuh kagum, mataku berkilauan. "Ayah! Nanti bila saya besar, saya mahu menjadi seperti mereka!"
Ayah mengusap rambutku lembut sambil berkata, "Ya, Hazrul. Kamu boleh mengejar impian kamu sendiri jika kamu mempunyai semangat yang kuat dan tidak kenal erti putus asa. Jadi, walaupun kamu rebah atau terluka, kamu mesti terus berdiri dan berjuang untuk impian kamu. Jangan sesekali mengalah."
Aku tersenyum lebar. "Baiklah! Tapi, ayah kena tolong saya kejar impian itu, ya?"
Ayah tertawa kecil dan menjawab dengan penuh keyakinan. "Ya, ayah akan sentiasa berada di sisi kamu, Hazrul. Ayah janji, ayah akan membantu kamu mengejar cita-cita kamu."
Aku menggenggam tangan ayah erat sambil berkata, "Janji, ya, ayah? Janji yang ayah takkan tinggalkan saya."
Ayah mengangguk dengan penuh kasih sayang. "Janji, Hazrul. Ayah akan sentiasa bersama kamu."
Kini janji itu hanya menjadi kenangan pahit yang tiada makna. Aku termenung melihat gambar burung itu, mengingatkan janji yang pernah menjadi pegangan hidupku. Namun, janji itu telah lama tenggelam bersama kehilangan ayah.
Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba menahan air mata yang hampir mengalir. Sakit di kepalaku dan rasa lesu di tubuhku mengingatkan aku betapa lemahnya aku sekarang. Ayah selalu menyuruh aku terus berdiri walau apa pun yang terjadi. Tapi, bagaimana aku mahu berdiri jika aku sendiri tidak tahu ke mana hala tuju hidupku sekarang?
Aku memejamkan mata, menggenggam telefonku erat. Bisikan suara ayah seolah-olah bergema di dalam fikiranku. "Jangan mengalah, Hazrul. Jangan pernah menyerah."
Malam itu, aku terbaring dengan perasaan yang bercampur-baur, memikirkan masa lalu, janji yang tidak tertunai, dan apa yang akan aku lakukan untuk bangkit semula.