HARI KETIGA PULUH TIGA
Setelah kami pulang ke asrama, Azmi sempat memberitahu aku sesuatu. Apa yang dikatakannya amatlah sulit untuk dicerna. Aku terkejut mendengarnya.
Hari Khamis, selepas sesi pembelajaran tamat, aku mengambil masa untuk berehat di Kelab Musik. Ruang kelab itu sunyi, hanya dihiasi bunyi kipas berputar dan titisan air dari singkir dapur. Aku terbaring di atas sofa, menikmati alunan beberapa lagu yang aku mainkan dari telefon bimbit. Kelopak mataku semakin berat, hampir tertidur.
Namun, saat aku hampir terlelap, pintu kelab terbuka. Aku segera membuka mata dan mendapati Rika melangkah masuk. Dia menutup pintu perlahan-lahan dan memandang ke arahku.
“Oh! Awak sedang berehat, ya? Maaf mengganggu, saya ke sini nak ambil barang yang tertinggal,” katanya sambil berjalan ke arah meja di sudut bilik.
Aku bangun dari posisi baringku dan memanggilnya. “Hey, Rika!”
Dia berpaling dengan sedikit hairan. “Ya, ada apa?”
“Saya nak tanya sesuatu tentang kelab ni. Saya dengar ada seorang yang bernama Adam yang banyak berjasa memajukan kelab ini. Boleh awak cerita sikit? Di mana dia sekarang?”
Rika tersenyum tipis, lalu menjawab. “Dia masih di sini, belajar seperti biasa. Kenapa awak nak tahu?”
“Tak ada apa-apa, cuma saya berminat nak tahu sejarah kelab ni. Itu saja.”
Dia memandangku dengan riak sedikit skeptikal tetapi kemudian berkata, “Baiklah, kalau awak betul-betul nak tahu, saya boleh cerita sedikit.”
Rika memulakan ceritanya. “Kelab musik ni dulu hanya ada beberapa orang ahli sahaja—saya, Nora, dan Riko. Nora yang mulakan semuanya. Dia bercita-cita tinggi untuk memajukan kelab ni, tapi masa tu tak ramai pelajar yang pandai bermain alat musik. Hanya saya dan Riko yang bantu dia.
Kami pernah buat persembahan pertama kali, dan dari situ Nora mula dikenali ramai. Dia jadi popular di Akademi Putra. Tak lama selepas itu, Adam diterima masuk ke sekolah ini. Dia sangat mengagumi Nora, jadi dia sertai kelab ni.
Banyak hal yang berlaku selepas Adam masuk. Tapi yang paling penting, dia bawa semangat baru kepada kelab kami. Dengan dorongan dia, kami semua berusaha keras untuk menjadikan kelab ni seperti sekarang.”
Rika berdiri, menyusun beberapa barang di tangannya. “Saya rasa cukup sampai di sini. Kalau saya nak cerita semuanya, memang tak cukup masa.”
Dia melangkah keluar, membuka pintu dan menutupnya dengan lembut. Aku kembali terbaring di atas sofa, memutarkan lagu kegemaranku. Cahaya matahari yang masuk melalui tingkap menyentuh wajahku, memberikan rasa nyaman.
Kelab musik ini memang tempat terbaik untuk berehat. Perlahan-lahan aku menutup mata, membiarkan diriku dibawa ke dunia mimpi.
Apabila aku tersedar dari tidur, aku melihat jam tangan. Sekarang sudah pukul 3:43 petang. Waktu berjalan begitu cepat sekali. Aku mengemas barang-barangku dan bersiap untuk keluar dari Kelab Musik.
Stolen novel; please report.
Hari ini aku ada latihan pedang, sesuatu yang sudah lama aku tangguhkan. Mungkin Max sibuk dengan urusan penting, tapi aku ingin mencarinya untuk memastikan.
Aku menuruni tangga akademi dengan langkah santai, namun di tengah perjalanan, aku terserempak dengan Amiliya. Dia menghentikan langkahnya dan memandangku dengan wajah serius.
“Hey, Hazrul!” tegurnya.
“Ya, ada apa?” balasku, sedikit hairan.
“Tadi saya ternampak Husnah sedang bercakap dengan salah seorang kakitangan kerajaan,” katanya dengan nada sedikit cemas.
“Apa?” Aku terkejut mendengar kenyataannya.
Amiliya mengangguk perlahan, ekspresinya serius. “Hmm, mereka nampak seperti sudah kenal antara satu sama lain.”
Ini benar-benar membingungkan. Kenapa Husnah bercakap dengan kakitangan kerajaan? Hubungan mereka kelihatan aneh. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?
Selepas itu, aku mencari Husnah untuk bertanyakan tentang hal itu. Aku cuba mencarinya di kantin. Apabila sampai, aku melihat dia sedang membersihkan meja sambil menyanyikan sebuah lagu. Aku menegurnya.
“Hey! Husnah!”
Dia tersentak dan menoleh ke arahku, lalu tersenyum.
“Ha’h? Awak Hazrul! Apa yang awak buat di sini?” tanyanya dengan ceria.
“Saya ke sini untuk mencari awak.”
Tiba-tiba, dia memegang tanganku dan berpaling ke arah dua orang rakannya.
“Mimi, Isabella, kami nak keluar kejap. Kamu berdua teruskan kerja ini ya!”
Mimi menjawab sambil mengangkat ibu jarinya. “Ya! Baiklah!”
Husnah kemudian menolak aku ke arah pintu keluar.
“Hey! Ada apa ni?” tanyaku, bingung.
“Diamlah, ikut je!” balasnya sambil tersengih.
Kami berjalan di taman yang penuh bunga. Sambil berjalan, Husnah mula bercerita tentang hidupnya.
“Awak tahu tak, Hazrul? Masa saya kecil dulu, saya ada impian nak jadi tukang masak terkenal dunia. Saya berusaha keras untuk capai impian tu, dan sebab tu saya diterima masuk ke Akademi Putra ni. Kalau bukan kerana impian ni, saya takkan bertemu dengan awak.”
Dia menghulurkan tangannya ke arah bunga-bunga di taman yang sedang berkembang mekar.
“Cantikkan pemandangan ni? Saya harap suatu hari nanti impian saya akan tercapai.”
Aku memandang bunga-bunga tersebut sebelum mengangguk.
“Awak pasti boleh capai impian awak kalau awak ada semangat kuat dan tak mudah putus asa,” kataku.
“Betul tu!” jawabnya dengan senyuman manis.
Ketika kami hampir sampai ke penghujung taman, dia tiba-tiba bertanya, “Oh, Hazrul!”
“Ya, ada apa?”
“Tadi awak cari saya, kan? Kenapa?”
Aku berhenti berjalan dan memandangnya.
“Hmm... sebenarnya, saya ada soalan nak tanya awak,” kataku perlahan.
“Soalan apa?”
“Saya dengar awak tadi berbual dengan kakitangan kerajaan. Apa tujuan awak berbuat begitu?”
Husnah terdiam seketika. Dia menundukkan kepalanya ke arah tanah, jelas sedang memikirkan sesuatu.
“Kenapa ni?” tanyaku, cuba menenangkan suasana.
Dia mengangkat wajahnya perlahan dan menjawab dengan nada perlahan, “Tentang hal itu... Awak tak payahlah tahu. Yang penting, kita masih boleh berjumpa seperti biasa.”
Husnah kemudian berkata bahawa dia perlu pergi ke biliknya untuk urusan penting. Aku hanya mampu melihat dia berjalan pergi, meninggalkan aku di taman yang kini diselubungi cahaya jingga matahari yang mula terbenam.
Aku memutuskan untuk pulang ke asrama. Dalam perjalanan menuju ke Blok 1 dan Blok 2, aku terserempak dengan seseorang yang kelihatan aneh. Aku cuba menoleh ke belakang untuk melihat lebih jelas, namun dia sudah hilang dari pandangan.
“Mungkin bayangan aku sahaja,” bisikku kepada diri sendiri.
Aku meneruskan perjalanan dan tidak memikirkan lagi tentang insiden tersebut.
Di asrama, aku terdengar beberapa pelajar lelaki sedang berbual di ruang rehat. Suara mereka jelas kedengaran walaupun aku tidak berniat untuk mendengar.
“Hey! Aku dengar ada pelajar baru masuk ke sini.”
“Siapa dia?” tanya seorang lagi dengan nada ingin tahu.
“Entahlah! Aku pun tak pasti siapa dia. Tapi katanya budak tu memang hebat.”
Aku tidak menghiraukan mereka dan terus melangkah menuju ke bilikku. Perbualan itu langsung tidak menarik minatku, kerana aku lebih penat dan hanya mahu berehat.
Setibanya di bilik, aku meletakkan barang-barangku di atas meja. Kemudian, aku membaringkan diri ke atas katil. Matahari sudah terbenam, dan cahaya lampu koridor samar-samar menyinari dinding bilikku.
“Ah, akhirnya,” aku menghela nafas lega sambil memejamkan mata.
Tanpa sedar, keletihan menguasai tubuhku. Aku mula terlelap dan tenggelam dalam tidur yang lena.
(Aku dapat rasakan seseorang menangis kerana aku)
Tinggal 5 Hari Lagi.