home

search

Chapter 32 BBQ

  HARI KETIGA PULUH DUA

  Pagi keesokannya di kelab muzik, Lili memanggil kami untuk berkumpul. Dia berdiri di hadapan kami dengan senyuman ceria.

  "Baiklah! Memandangkan hari jadi pengetua sudah dekat, dan kita telah menang dalam acara semalam, kelab kita dipilih untuk mengadakan konsep pada hari tersebut," katanya dengan penuh semangat.

  "Konsep lagi!" Alif mengeluh sambil menghempas dirinya ke kerusi.

  Lili menjegil mata. "Jangan merungut boleh tak, Alif? Ini peluang besar untuk kelab kita."

  Atifah mencelah sambil tersenyum lebar, "Hey! Memandangkan kita telah menang, apa kata kita meraikannya dulu?"

  "Meraikannya?" Alif mengangkat kening.

  "Ya! Kita buat BBQ di padang sekolah. Macam mana, berminat tak?" cadang Atifah dengan nada penuh harapan.

  "Dah tentulah!" kata Lili, langsung bersetuju.

  Selepas kejayaan semalam, Anis kini dikenali sebagai seorang idola yang selama ini dia impikan. Malah, ramai pelajar mahu meminta autograf darinya dan bergambar bersama. Anis kelihatan lebih yakin dan mampu berbual dengan orang ramai tanpa rasa gugup. Di dalam kelas, rakan-rakan sekelas selalu berbual tentangnya. Kelab muzik pula semakin popular kerana persembahan semalam, dan kini kami berada di carta kelab terbaik di Akademi Putra.

  Cahaya pagi yang lembut menembusi tingkap kelas. Aku memandang keluar, melihat taman sekolah yang cantik. Burung-burung berkicau riang, bunga-bunga berkembang mekar, dan air yang bersih mengalir tenang di kolam kecil. Pemandangan itu sungguh memukau.

  Aku berjalan menyusuri koridor sekolah, namun fikiran aku terasa terganggu. Dalam perjalanan, aku tidak dapat melupakan bayangan semalam—seorang lelaki yang aku lihat sedang tidur dalam cahaya putih.

  Aku berhenti di tengah jalan, cuba memahami apa yang aku alami. "Siapa dia?" Aku bertanya perlahan kepada diriku sendiri, suara bergema lembut di dalam kepala.

  Namun, tiada jawapan yang datang. Selepas beberapa saat termenung, aku menghela nafas panjang dan meneruskan langkah. Dalam hati, aku berharap enam hari dari sekarang tiada apa-apa yang buruk akan berlaku.

  Setelah waktu pembelajaran tamat, aku cuba pergi ke bumbung sekolah. Di atas bumbung, aku dapat melihat seluruh kawasan sekitar. Dari taman sekolah hingga ke padang yang luas. Kawasan bumbung sangat berangin, anginnya seolah-olah seperti di tepi pantai. Pemandangan dari atas bumbung sangat berbeza. Aku melihat ke arah taman, seolah-olah taman itu membentuk sesuatu—objek atau tulisan yang samar-samar kelihatan.

  Aku merenung taman tersebut lama-lama, kemudian pandanganku beralih ke arah Blok 7. Blok itu sangat jauh dari blok-blok lain. Persoalan muncul dalam fikiran. Kenapa mereka letakkan Blok 7 sejauh itu? Aku tertanya-tanya sambil memandang ke arahnya.

  Tiba-tiba, dalam kesunyian itu, aku terdengar satu suara yang mengejutkan.

  “Hati-hati bila kau bersandar pada palang itu. Sudah ada orang yang mati kerana jatuh darinya.”

  Aku terus berpaling ke belakang, melihat seorang lelaki yang tersenyum tipis.

  “Siapa kau?” tanyaku dengan nada ingin tahu.

  Dia membalas dengan tenang sambil tersenyum. “Nama aku Daniel. Salam kenal. Kau?”

  “Aku Hazrul,” balasku, sedikit keliru. “Kenapa kau tiba-tiba menegur aku?”

  Dia berjalan menghampiri dan berkata, “Oh, tentang itu. Sebenarnya, ini tempat aku selalu melepak. Kebetulan aku datang ke sini dan ternampak kau. Jadi, aku tegur sajalah.”

  Dia berdiri di sebelahku sambil melihat pemandangan di hadapan. Angin yang bertiup lembut menambah suasana nyaman. Aku memutuskan untuk bertanya.

  “Hey, Daniel! Sebenarnya kau dari kelas mana? Aku jarang nampak kau di Akademi Putra ni.”

  Dia menunjuk ke arah salah satu blok di kejauhan. “Aku dari kelas sana.” Dia berhenti menunjuk seketika. “Nama kelas aku 3C. Sebab kelas 1 dan 2 berada di blok yang berlainan, mungkin itu sebabnya kita jarang bertembung.”

  Dia memandang aku dan bertanya, “Kau pula dari kelas mana?”

  “Kelas 1B,” jawabku ringkas.

  “Oh!” Dia mengangguk kecil, kemudian berkata, “Cuaca hari ni memang indah, kan? Kau nak tahu tak sesuatu tentang kelab muzik?”

  Aku segera mengangguk, rasa ingin tahu membuak-buak. “Ya, sudah tentu!”

  Dia mula bercerita, “Kelab itu dulu ditubuhkan oleh seorang pelajar bernama Nora. Pada masa tu, carta kelab terbaik dimenangi oleh kelab misteri.”

  “Kelab misteri?” tanyaku, sedikit terkejut.

  “Ya. Tapi aku tak tahu kenapa kelab tu dibubarkan. Kau tahu?” Dia memandang aku dengan wajah penuh harapan.

  Aku cepat-cepat menggeleng. “Tak, aku tak tahu.” Aku sengaja menyembunyikan kebenaran kerana tidak mahu mendedahkan apa yang aku tahu.

  Daniel menghela nafas, sedikit kecewa. “Oh… Aku ingat kau tahu. Tapi cuba lihat kelab muzik sekarang, mereka macam meneruskan perjuangan kelab misteri dulu. Tanpa Adam, aku rasa kelab muzik tu dah lama dibubarkan.”

  “Siapa Adam?” tanyaku ingin tahu.

  “Dia ialah orang yang memajukan kelab muzik tu sampai ke tahap sekarang,” jawab Daniel dengan yakin.

  Tiba-tiba, suara lain memecah perbualan kami.

  “Daniel! Cepatlah! Adam tengah tunggu kau!”

  Kami sama-sama menoleh ke arah suara itu. Seorang lelaki berdiri di pintu bumbung sambil melambai ke arah Daniel.

  Daniel memandang aku sambil tersenyum. “Baiklah, aku kena pergi dulu. Jumpa lagi, ya!”

  Dia melambaikan tangan sebelum bergegas pergi meninggalkan aku di atas bumbung sekolah.

  Aku melihat dia menjauh, kemudian kembali menatap pemandangan di hadapan. Banyak perkara bermain di fikiran aku—termasuk pertemuan singkat dengan Daniel. Siapa sebenarnya dia, dan apa hubungannya dengan Adam? Aku tertanya-tanya sambil cuba menyusun teka-teki yang baru muncul.

  Selepas itu, aku berjalan menuju ke kelab muzik. Setibanya di sana, aku melihat beberapa ahli kelab sibuk mempersiapkan alatan untuk majlis BBQ yang akan diadakan malam nanti. Mereka kelihatan teruja tetapi serba sedikit kelam-kabut. Melihat aku yang berdiri tidak jauh dari pintu, mereka segera meminta pertolonganku.

  “Hazrul, boleh tolong kami angkat meja dan kerusi ni ke padang?” pinta salah seorang daripada mereka.

  Aku mengangguk perlahan. Walaupun masih sedikit penat, aku tak sampai hati untuk menolak. Jadi, aku menyingsing lengan dan mula membantu mereka. Kami bekerja bersama-sama—mengangkat meja, menyusun peralatan, dan menghias tempat BBQ.

  Setelah semuanya selesai, aku melangkah ke padang dan duduk di sebuah kerusi berhampiran untuk berehat. Nafasku terasa lega, tetapi badanku masih terasa letih akibat kerja tadi.

  Apa agaknya yang Team Seven sedang lakukan sekarang? fikirku. Aku teringin untuk bertemu mereka, tetapi keletihan menghalangku untuk bergerak lebih jauh. Jadi, aku memutuskan untuk berehat di sini terlebih dahulu.

  If you spot this narrative on Amazon, know that it has been stolen. Report the violation.

  Padang sekolah kini dipenuhi angin sepoi-sepoi bahasa, dan suasana damai membuatkan aku hampir terlena. Namun, lamunanku terhenti apabila terdengar suara lembut menegurku dari belakang.

  “Hey! Hazrul! Kau dah siap ke susun semua barang-barang tu?”

  Aku menoleh, dan terlihat Lili, salah seorang ahli kelab muzik, sedang berdiri sambil tersenyum.

  “Ya! Aku dah siap susun kesemuanya. Kita hanya tunggu waktu malam tiba saja!” balasku dengan nada yakin.

  “Baguslah!” jerit Lili dengan ceria.

  Aku mengambil peluang itu untuk bertanya kepadanya, “Lili! Hanya ahli kelab muzik saja ke yang dijemput ke majlis BBQ ni?”

  Dia menggeleng sambil tersenyum. “Taklah! Semua rakan sekelas kita juga dijemput. Kalau kau nak jemput kelab lama kau pun boleh.”

  Nada suaranya lembut, penuh persetujuan. Mendengar itu, aku rasa lega.

  “Ya! Baiklah, aku akan jemput mereka,” jawabku.

  Sementara kami berbual, satu persoalan lama bermain di fikiranku. Jadi, aku bertanya kepada Lili tentang asal usul kelab muzik.

  “Hey, Lili! Kau tahu tak apa-apa pasal asal usul kelab muzik ni? Kenapa kelab ni jadi sangat popular sampai menduduki tempat pertama dalam carta kelab terbaik?”

  Lili mengangkat bahu, wajahnya menunjukkan sedikit kekeliruan. “Tak! Aku kan baru masuk ke sini! Kalau kau nak tahu, pergi tanya Rika atau Riko. Mereka lebih lama kat sini daripada kita.”

  “Ya, baiklah,” balasku sambil tersenyum kecil.

  Perbualan itu membuatkan aku semakin ingin tahu. Apa sebenarnya kisah di sebalik kelab muzik ini? Dan apa kaitannya dengan kelab misteri dulu? Aku nekad untuk bertanya kepada Rika atau Riko selepas ini.

  Selepas itu, aku memutuskan untuk mencari Azmi dan Anita bagi mengajak mereka ke majlis BBQ. Langkahku bermula di kelab misteri, tempat yang sering menjadi lokasi mereka berdua. Namun, setibanya di sana, aku dapati pintu bilik tersebut terkunci rapat, dan tiada siapa di dalamnya.

  Kemana pula mereka pergi? fikirku.

  Aku teruskan pencarian ke beberapa lokasi lain yang mungkin menjadi tempat mereka berada—perpustakaan, taman sekolah, dan juga dewan utama. Setelah puas mencari tanpa hasil, akhirnya aku terlihat Anita di dalam bilik Kebudayaan. Dia kelihatan sedang sibuk dengan sesuatu di sana.

  Aku melangkah masuk sambil menegurnya, “Hey! Anita! Rupanya awak ada di sini. Apa yang awak buat?”

  Anita menoleh sambil menutup pintu bilik kebudayaan. Wajahnya sedikit terkejut melihatku. “Kenapa? Awak cari saya ke?”

  “Ya, memang saya cari awak tadi. Saya ada sesuatu nak bagitahu,” jawabku pantas.

  “Apa dia?” tanya Anita, matanya menatapku penuh tanda tanya.

  “Kelab muzik akan mengadakan majlis BBQ malam nanti. Jadi, awak nak turut serta?”

  Mendengar itu, dia segera mengambil barang-barangnya tanpa banyak reaksi. “Memang saya nak pergi, tapi buat masa sekarang, saya tengah sibuk!”

  Anita mula melangkah keluar dari bilik, berjalan melepasi pintu sambil berkata, “Tengoklah nanti. Kalau saya ada masa, saya akan datang.”

  Aku yang masih berdiri di hadapan bilik kebudayaan sempat menahannya sebelum dia pergi terlalu jauh.

  “Nanti dulu! Awak tahu tak Azmi ada di mana sekarang?” tanyaku dengan nada berharap.

  Dia berhenti seketika, menoleh ke belakang, dan menjawab dengan ringkas, “Azmi? Dia kata dia ada kerja yang mustahak sekarang ni. Jadi, dia tak ada masa untuk jumpa kita semua.”

  Selesai berkata begitu, Anita terus pergi meninggalkan aku sendirian di hadapan bilik kebudayaan.

  Aku menghela nafas panjang. Kalau Azmi betul-betul sibuk, susahlah nak ajak dia. Namun, aku masih belum berputus asa. Kalau perlu, aku akan cuba mencari Azmi lagi selepas ini.

  Matahari mula terbenam, melukis langit dengan warna jingga yang membara. Aku duduk di depan pacakan bendera, menikmati angin sepoi-sepoi yang meniup lembut.

  Bendera berkibar megah, selaras dengan hembusan angin, dan aku melihat jam tangan. Sudah pukul 6:23 petang—majlis BBQ dijadualkan bermula pada pukul 8:00 malam. Masih tinggal beberapa jam sahaja lagi.

  Pemandangan petang itu benar-benar memukau. Langit yang bertukar warna dari biru cerah kepada jingga keemasan mencipta suasana yang damai. Aku menutup mata, menghirup udara segar dengan perlahan, dan menghembuskannya semula. Hari ini indah sekali, fikirku.

  Saat malam menjelma dan majlis BBQ dimulakan, suasana menjadi semakin meriah. Kesemua rakan sekelas hadir, dan aku terkejut melihat beberapa ahli Team Seven turut menyertai majlis ini.

  Justin, Max, dan Natsumi berjalan menghampiriku. Aku menegur mereka dengan senyuman, “Awak semua pun datang!”

  “Ya lah! Kan kami pun ada tolong sikit tadi. Betul tak, Justin?” kata Natsumi sambil menepuk bahu Justin.

  Justin mengangguk sambil tersenyum. “Betul tu!”

  Majlis semakin rancak apabila kami mula memanggang pelbagai jenis makanan. Bau ayam, sosej, dan jagung panggang memenuhi udara malam. Saat kami sedang menjamu selera, Anita tiba dengan sedikit tergesa-gesa.

  “Maaf, saya terlambat!” katanya, kelihatan sedikit gelisah.

  “Tak apa lah, Anita,” balas Amiliya dengan tenang.

  Namun, Haikal yang duduk di sebelah Amiliya menyampuk dengan nada usik, “Oh, jadi ini Anita yang selalu disebut-sebut tu, ya?”

  Haikal memandang Anita dengan senyuman nakal, menyebabkan Anita merasa sedikit janggal. Tetapi dia tetap membalas dengan sopan.

  “Hi! Saya Haikal,” kata Haikal sambil menghulurkan tangan.

  “Saya Anita. Selamat berkenalan,” jawab Anita, bersalaman dengannya.

  Anita kemudian menyertai kami menikmati makanan, dan suasana bertambah riang.

  Dalam kegembiraan itu, aku terpandang Saiful yang berdiri agak jauh, memerhatikan bintang-bintang di langit malam.

  Dia kelihatan asyik menatap salah satu bintang yang bersinar terang, seolah-olah tenggelam dalam kenangan silam. Anis yang perasan kelakuan Saiful segera menegurnya.

  “Kenapa awak selalu macam ni, Saiful?” tanya Anis lembut.

  Saiful menoleh ke arah Anis dan tersenyum kecil. “Tak ada apa lah, Anis. Aku cuma tak percaya yang kita semua dapat bertemu semula.”

  Namun, wajah Saiful berubah sedikit serius, dan dia bertanya, “Sebenarnya, kenapa awak dan Azmi dulu mencuri-curi keluar dari Sekolah Permata Mutiara? Awak tinggalkan saya sendirian di sana.”

  Azmi tiba-tiba muncul dari belakang mereka dan menyampuk, “Saiful, tak payah lah nak ungkit cerita lama tu. Yang penting sekarang, kita semua dah bersama semula.”

  Azmi melangkah lebih dekat, dan suasana menjadi sedikit tenang. Semua ahli kelab misteri kini hadir, kecuali seorang—Atirah.

  Ketidakhadiran Atirah menjadi persoalan di kalangan mereka.

  “Hey, ini ke semua ahli kelab misteri? Bukan ada seorang lagi ke?” tanya Rika dengan nada ingin tahu.

  Azmi menjawab tenang, “Dia dah berhenti dari kelab ni, juga sekolah. Sekarang dia balik ke kampung halamannya.”

  “Kenapa?” Rika mendesak.

  “Dia rindu pada ibu bapanya,” jawab Azmi dengan nada yang meyakinkan.

  Namun, aku tahu Azmi sedang menyembunyikan kebenaran. Atirah sebenarnya telah tiada, tetapi Azmi memilih untuk menutup rahsia itu. Amiliya dan Anita turut berpura-pura seolah-olah kisah Azmi adalah benar.

  Aku hanya mampu memerhatikan mereka dengan perasaan hiba. Melihat bagaimana mereka menutup luka silam dengan senyuman palsu membuatkan aku merenung langit malam.

  Bintang-bintang di langit bersinar terang, mencipta pemandangan yang indah tetapi penuh dengan kenangan pahit.

  Apabila kami telah kenyang, aku berjalan ke kawasan padang Akademi Putra untuk berehat. Setelah sampai, aku membaringkan diri di atas rumput sambil memandang bintang-bintang yang bertaburan di langit. Udara malam begitu nyaman, dan aku cuba menikmati saat ini sepenuhnya.

  Tiba-tiba, Kai muncul dan berdiri di depanku. Dia berkata, "Lepas makan kita janganlah terus tidur. Nanti perut kau sakit." Katanya dengan nada separa serius, lalu dia duduk di sebelahku.

  Aku tersenyum sedikit. "Kau tahu, Kai... Aku tak pasti kalau semua ini benar atau hanya mimpi. Kita berlawan dengan robot-robot, menyelesaikan konflik yang penuh bahaya, menghadapi cabaran ngeri, dan cuba menghuraikan misteri di Akademi Putra ini."

  Kai memandangku sambil tersenyum tipis. "Kita? Kau tahu aku ni cuma duduk di bilik, memantau dari jauh dan memastikan semua maklumat sampai kepada korang semua. Tapi aku faham apa yang kau rasa," katanya sebelum turut membaringkan diri di sebelahku.

  Tidak lama kemudian, Justin dan Max menyertai kami. Justin duduk di sebelah Kai sambil berkata, "Kau berdua ni nampak macam tengah bincang sesuatu yang serius sangat. Aku boleh sertai tak?"

  Max mengikut Justin, lalu duduk di sebelahku. "Aku rasa kita semua perlukan rehat. Tapi... Kai, macam mana dengan bom pemecah global tu?" Tanya Max dengan wajah serius.

  Kai menguap kecil sebelum menjawab, "Semuanya dalam keadaan baik. Kalau semua berjalan seperti dirancang, bom itu akan siap tak lama lagi. Dengan bom tu, kita akan ada kelebihan besar untuk lawan robot-robot tu."

  Max akhirnya turut membaringkan dirinya bersama kami. Kemudian, Azmi datang menghampiri kami. "Jadi di sini rupanya kamu semua! Kenapa kamu semua terbaring?"

  "Kerana kami sedang menikmati detik ini, Azmi. Kadang-kadang, rehat sekejap adalah perkara yang terbaik." Aku menjawab sambil memandang ke arahnya.

  Azmi mengeluh kecil sebelum dia turut membaringkan dirinya di sisi kami. Dia melihat langit dan berkata, "Bintang-bintang ni buat aku teringat pada masa kita mula-mula berkumpul. Banyak yang kita lalui bersama."

  Aku tersenyum dan memulakan cerita. "Kamu semua tahu tak apa yang aku rasa pada hari pertama aku masuk ke Akademi Putra?"

  Kai terus memotong dengan nada bersahaja. "Kau rasa teruja, kagum dengan bangunan sekolah ni, dan mungkin sedikit takut, betul tak?"

  Aku tergelak kecil. "Ya! Macam mana kau tahu?"

  "Senang saja. Semua orang yang masuk ke sini akan rasa benda yang sama. Akademi Putra bukan tempat biasa." Kai menjawab dengan yakin.

  Azmi pula menyambung, "Masa awal bulan ni, kami cuba mencari ahli baru untuk menggantikan Anis. Tak sangka Anita menemui kau, dan kau pula setuju untuk menyertai kelab misteri kami."

  Aku mengangguk perlahan. "Ya, mulanya aku rasa kelab tu hanya satu aktiviti tak berguna. Tapi sekarang aku sedar—"

  Max memotong dengan nada bergurau, "—Sekarang kau dalam bahaya, dan kami pula sentiasa perlu tolong kau keluar dari masalah!"

  Kami semua tergelak kecil. Aku menambah, "Aku masih ingat hari pertama aku bertemu Justin di Blog 7. Aku dan Amiliya tengah kejar seseorang yang berjubah. Waktu tu, aku betul-betul rasa seperti dalam cerita detektif."

  Justin tersenyum sambil berkata, "Itu kenangan yang menarik. Tapi, aku rasa kau tak pernah cerita sejarah kau kepada kami."

  Semua mata kini memandang ke arahku. Aku tersenyum, cuba mencari kata-kata yang sesuai. "Sejarah aku?"

  "Ya, cerita lah!" kata Azmi, penuh minat.

  Aku akhirnya berkata, "Baiklah. Aku tak ada sejarah sehebat kamu semua. Aku bukan ahli Team Seven, atau seorang genius seperti Kai. Tapi aku ada satu perkara yang membuatkan aku terus bertahan—kamu semua. Kawan-kawan aku."

  Mereka mengeluh kecil mendengar jawapanku, tetapi aku tahu mereka gembira. Saat itu, aku menyedari bahawa walaupun kami berlainan, kami sentiasa bersama menghadapi segala cabaran yang datang.

  Bintang-bintang di langit malam terus bersinar terang, menjadi saksi kepada ikatan persahabatan kami yang semakin kuat.

  Saat itu berakhir dengan terlalu cepat sekali.........

  Tinggal 6 Hari Lagi.

Recommended Popular Novels